Amanah Mengundi Bagi Perantau

0
63

Kemenangan di kerusi DUN dan Parlimen Melayu Islam di Terengganu, Kelantan dan Kedah terutamanya banyak bergantung kepada undi perantau yang berada di luar negeri. Sekiranya tarikh pengundian jatuh pada hari bekerja ia akan mengurangkan bilangan yang pulang mengundi. Ia mungkin menjadi sebahagian strategi untuk memenangkan parti tertentu.

Namun, kesedaran yang perlu ditanam pada diri para perantau ialah kepulangan mereka untuk mengundi adalah bagi menunaikan hak bernegara dan tanda cinta mereka untuk negara ini ditadbir dengan baik oleh pemimpin yang amanah dan berintegriti.

Memilih pemimpin yang baik adalah kewajipan beragama. Apabila wafatnya Nabi saw hari isnin, para Sahabat segera berkumpul berbincang selama 2 hari tentang siapakah pengganti baginda sebagai ketua negara Madinah. Setelah terpilihnya Abu Bakar al-Siddik sebagai pemerintah memakai gelaran Khalifah menggantikan Nabi saw barulah janazah suci Baginda diuruskan untuk dikebumikan pada malam rabu.

Penangguhan pengkebumian janazah Nabi saw kerana mendahulukan kepentingan memilih pemimpin ini menjadi ijma’ dan sepakat para Sahabat. Ijma’ menjadi sumber hukum ketiga dalam Islam. Ia menegaskan hukum bahawa urusan memilih pemerintah lebih diutamakan berbanding urusan menguruskan jenazah baginda saw. Ia menggambarkan betapa pentingnya urusan politik memilih pemimpin dalam Islam.

Justeru, saya menyeru para perantau pulang bagi menunaikan amanah besar bernegara ini meskipun terpaksa berhadapan dengan kesukaran. Moga Allah permudahkan segala urusan bernegara rakyat Malaysia.

Dato’ Dr Khairuddin Takiri
Selasa 10 hb April 2018

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here